PETALING JAYA: Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memperdaya ahli lembaga pengarah berkait pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan 2017.
Bekas ketua pegawai kewangan TH, Rozaida Omar dan bekas ketua pegawai eksekutif, Johan Abdullah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, Rozaida, 63, dan Johan, 70, didakwa secara bersama memperdaya ahli lembaga pengarah TH dengan mendorong mereka meluluskan penilaian semula hartanah pelaburan organisasi berkenaan yang dilambungkan nilainya.
Mereka didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja mengandungi penilaian hartanah yang dilambungkan dalam penyata kewangan belum dikonsolidasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017, sedangkan mengetahui hartanah itu sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.
Hartanah itu ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.
Menurut pertuduhan, perbuatan itu bagi membolehkan TH membuat pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 3 petang hingga 10.30 malam di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, pada 9 Feb 2018.
Rozaida dan Johan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwah Raya, Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh menakala Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Johan diwakili Shukri Mohamed serta Malissa Shukri.
