PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini mengkritik Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin kerana cuba 'mencari publisiti' apabila menggesa supaya operasi membanteras pendatang tanpa dokumen di seluruh negara dilaksanakan dengan melibatkan tentera.
Santiago berkata, pekerja migran bukan punca masalah pendatang tanpa izin (Pati) di negara ini, sebaliknya berpunca daripada 'ketamakan, rasuah, pengambilan pekerja secara eksploitatif dan majikan yang tidak bertanggungjawab'.
“Kita terus menyalahkan pekerja, sedangkan pihak yang mengaut keuntungan daripada eksploitasi dibiarkan beroperasi tanpa dikenakan tindakan.
“Ahli Parlimen seperti Radzi perlu memahami isu yang diperkatakan mereka dan bukannya mencari publisiti. Malaysia berulang kali berdepan penelitian antarabangsa dan menanggung malu akibat kelemahan tadbir urus migrasi buruh.
“Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dengan menghantar pulang pendatang semata-mata sedangkan kita sendiri gagal mentadbir sistem ini,” katanya dalam beberapa hantaran di X.
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 semalam, Radzi mencadangkan supaya anggota tentera digerakkan bagi membantu Jabatan Imigresen menahan dan menghantar pulang pendatang tanpa dokumen.
Malaysiakini yang memetiknya sebagai berkata, langkah itu akan menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa dan sindiket pemerdagangan manusia bahawa Malaysia serius menangani isu berkenaan.
Radzi turut berkata negara akan 'musnah' jika kerajaan gagal membendung kemasukan Pati secara berkesan, termasuk dengan mengenakan dasar lebih ketat terhadap pengambilan pekerja migran.
Bagaimanapun, Santiago berkata jika tentera dikerahkan, mereka sepatutnya ditugaskan untuk membanteras 'kartel perekrutan yang mewujudkan perhambaan hutang serta pegawai korup yang membolehkan pemerdagangan buruh berlaku'.
Beliau mendakwa undang-undang Malaysia menetapkan had yuran pengambilan pekerja pada kadar sebulan gaji, iaitu RM1,700, tetapi pekerja Bangladesh lazimnya membayar yuran antara RM20,000 hingga RM30,000.
“Jumlah itu bersamaan 12 hingga 17 kali ganda had yang dibenarkan undang-undang, sekali gus memaksa pekerja tinggal lebih masa untuk mendapatkan semula wang yang dibayar.
“Jika kita serius mahu mengurangkan migrasi tidak teratur, kita mesti meruntuhkan sistem yuran perekrutan yang menguntungkan itu, yang menjana keuntungan besar dengan mengorbankan pekerja migran dan mengekalkan kitaran perhambaan hutang,” katanya.
