PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa menteri dalam negeri campur tangan dalam kes kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan polis, dengan menuntut siasatan yang telus serta menggantung serta-merta tugas pegawai yang terlibat.
Rayer berkata kejadian itu adalah satu lagi kes kematian dalam tahanan dan ia memerlukan campur tangan kerajaan.
Beliau turut menggesa polis mendedahkan pegawai penyiasat dan semua anggota lain yang terlibat dalam soal siasat terhadap Noorizwan, serta mendedahkan kaedah yang digunakan semasa soal siasat itu.
“Soalan pertama saya ialah: siapa pegawai penyiasatnya? Adakah beliau telah digantung tugas serta-merta?”.
“Siapakah pegawai yang terlibat dalam soal siasat terhadap Noorizwan? Saya mahu polis, khususnya ketua polis Kuala Lumpur, mendedahkan butiran ini," katanya pada sidang media
Rayer juga mempersoalkan bagaimana Noorizwan, yang ditahan untuk siasatan, boleh mengalami pelbagai kecederaan serius sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Merujuk kecederaan yang dialami Noorizwan, termasuk enam tulang rusuk patah, kecederaan di kepala, luka di bahagian belakang badan, bengkak pada kaki dan lutut serta pendarahan usus, beliau menolak penjelasan bahawa lelaki itu terjatuh.
“Saya menuntut supaya pegawai yang terlibat digantung tugas serta-merta dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kerana membunuh),” katanya.
Rayer juga menggesa mana-mana pegawai yang didapati melakukan kesalahan atau menggunakan kekerasan terhadap Noorizwan didakwa.
Noorizwan ditangkap pada 20 Sept dan ditahan di IPD Cheras selama 11 hari tanpa pengetahuan keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 30 Sept. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 Okt.
Keluarganya menolak dakwaan ketua polis Kuala Lumpur bahawa tangkapan dan penahanannya dibuat mengikut prosedur operasi standard.
Pada 12 Okt, seorang pakar patologi forensik kanan di hospital itu dilaporkan mengesahkan kepada keluarga dan pasukan guaman mereka bahawa punca kematian ialah trauma akibat hentakan objek tumpul pada kepala.
Bedah siasat dilaporkan menemukan 21 kecederaan serius, termasuk pendarahan dalam otak, pendarahan dalaman di bahagian abdomen dan bengkak teruk dari tengkorak hingga ke tapak kaki.
