GAZA: Gudang di seluruh Semenanjung Gaza kehabisan bekalan tepung sepenuhnya, kata Ketua Persatuan Pembuat Roti Semenanjung Gaza, Abdul Nasser al-Ajrami, pada Khamis, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (Wafa).
Beliau memberi amaran tujuh kilang roti masih beroperasi mungkin terpaksa ditutup dalam tempoh 48 jam akan datang, jika bekalan baharu tidak dibenarkan masuk.
Dalam temu bual telefon bersama Wafa, al-Ajrami menjelaskan krisis itu berpunca daripada tindakan Israel menutup pintu sempadan Gaza sepanjang minggu lalu dan enggan membenarkan tepung komersial dibawa masuk ke wilayah berkenaan, meskipun pintu sempadan dibuka separa semula.
Menurutnya, kuantiti terhad yang dalam simpanan sebelum ini telah habis, memaksa beberapa kilang roti menghentikan operasi.
Hanya tujuh daripada 20 kilang roti di Semenanjung Gaza masih beroperasi dan kilang itu juga mungkin terpaksa ditutup, jika penghantaran tepung tidak dibenarkan.
Al-Ajrami menegaskan tepung di pasaran tempatan ketika ini datang daripada Program Makanan Sedunia (WFP), manakala kilang roti komersial yang bergantung kepada tepung dibawa masuk melalui pintu sempadan telah menghentikan operasi.
Beliau memberi amaran tindakan menghalang tepung komersial memasuki Gaza akan menyebabkan penutupan semua kilang roti dan tiada bekalan roti untuk penduduk.
Krisis tepung itu menyusul keputusan WFP pada Isnin untuk mengurangkan bantuan kepada lebih setengah juta penduduk di Semenanjung Gaza akibat kekurangan dana serius, langkah yang meningkatkan permintaan terhadap tepung dan menaikkan harga.
Pintu sempadan ke Semenanjung Gaza ditutup beberapa ketika sepanjang bulan ini, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan ekonomi di tengah-tengah sekatan ke atas kemasukan makanan, sayur-sayuran, bahan api serta bantuan kemanusiaan.
Pintu sempadan darat Rafah juga masih ditutup bagi pemindahan rakyat Palestin yang sakit dan cedera.
