PETALING JAYA: Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan tempahan khas seperti dilaksanakan di sesetengah negara walaupun langkah itu berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata cadangan itu pernah dibincangkan sebelum ini namun kerajaan membuat keputusan mengekalkan sistem pendaftaran kenderaan sedia ada.
Katanya, sistem yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor sudah lama diamalkan dan terbukti berkesan di negara ini.
“Ia pernah dibincangkan tetapi kita tidak bercadang untuk mengeluarkan nombor plat mengikut nama kerana kita sudah mempunyai sistem sendiri.
“Jadi, kita akan teruskan dengan sistem sedia ada menggunakan kombinasi huruf dan nombor yang telah diguna pakai sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya menurut Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Loke berkata kementeriannya akan terus mengeluarkan dua hingga tiga siri nombor pendaftaran edisi khas setiap tahun, dengan hasil jualan disalurkan terus bagi membantu rakyat.
Sebagai contoh, katanya, siri nombor pendaftaran khas 'H' dilancarkan September lalu berjaya menjana pendapatan sebanyak RM91.2 juta untuk kerajaan.
Hasil jualan siri khas itu kemudian digunakan bagi membiayai bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 seorang kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
"Saya tahu nilai RM1,000 ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah atau menampung kos penyelenggaraan kenderaan sepenuhnya, tetapi saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka,"katanya.
