PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, menggesa PAS bergerak solo pada PRU16, berbanding membentuk suatu pakatan dengan Barisan Nasional (BN).
Zaid, yang dahulunya pernah berada dalam Umno tetapi kini menyertai PAS, mendakwa Pengerusi BN Zahid Hamidi tidak ikhlas tentang kerjasama dengan PAS.
Zaid percaya PAS berkeupayaan memenangi 60 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU16, secara bersendirian.
Katanya, PAS selepas PRU16 boleh membentuk kerajaan bersama parti-parti di Sabah dan Sarawak dengan menawarkan 'tawaran adil' berhubung perkara-perkara kritikal bagi pembangunan dua negeri berkenaan.
"Presiden Umno (Zahid) sekali lagi memutuskan untuk tidak menghadiri acara penting bersama PAS pada Jumaat ini. Sebelum ini, kehadiran beliau yang diperkatakan ramai di muktamar PAS juga tidak menjadi kenyataan.
"Maksudnya PAS masih menaruh harapan? Zahid adalah orang Anwar Ibrahim semalam, hari ini dan selamanya. Saya tahu ia sukar, tetapi PAS sepatutnya memberi tumpuan untuk memenangi 60 kerusi Parlimen di Semenanjung secara bersendirian.
"Bekerjasama dengan Zahid tidak menjamin Anwar tidak kekal berkuasa. Hakikatnya, Zahid cenderung untuk mengekalkan Anwar di tampuk kuasa. Jadi apa yang PAS mahu?" katanya di Facebook.
Zaid mengulas laporan bahawa Zahid membatalkan kehadiran ke acara 'penyatuan ummah' anjuran PAS di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan, Jumaat ini.
Zahid sepatutnya menyampaikan ucapan bersama Presiden PAS Hadi Awang.
Semalam, Zahid mengumumkan BN akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka akan datang, manakala PAS dan ‘rakan-rakan’ akan bertanding di tujuh kerusi, susulan rundingan yang katanya sudah dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan pula berkata agihan itu belum dimuktamadkan, manakala rundingan kerjasama dengan BN akan terus diperincikan.
