PETALING JAYA: PAS berhasrat bertanding di empat kerusi dalam PRN Sarawak akan datang, termasuk kawasan Samariang, Sebuyau dan Beting Maro, susulan kejayaannya memperoleh kerusi sulung dalam DUN Sabah pada November tahun lalu.
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Arifiriazul Paijo, berkata kepimpinan negeri sudah mencadangkan perkara itu untuk dimuktamadkan di peringkat pusat, lapor Harian Metro.
Arifiriazul menambah PAS Sarawak turut mempertimbangkan satu lagi kerusi DUN sama ada di kawasan parlimen Bintulu atau Sibuti, yang akan diumumkan kemudian.
"Untuk tiga DUN ini, Insya-Allah hampir pasti untuk kita bertanding, cuma masih tertakluk kepada keputusan di peringkat tertinggi parti," katanya yang dipetik sebagai berkata.
Katanya, PAS Sarawak juga sudah menggerakkan jentera sejak awal sebagai persediaan selain mempunyai senarai pendek calon bagi ketiga-tiga kerusi yang dikenal pasti.
PAS mencipta sejarah dalam PRN Sabah pada 29 Nov lalu selepas pesuruhjaya PAS negeri, Aliakbar Gulasan, memenangi kerusi Karambunai, sekali gus memberikan parti Islam itu DUN pertama yang pernah dimenanginya di Malaysia Timur.
PAS hanya bertanding di satu kerusi dalam PRN Sarawak 2021, iaitu Beting Maro. Bagaimanapun Arifiriazul yang bertanding kerusi itu tewas pada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Razaili Gapor, dengan majoriti 1,711 undi.
Beting Maro dan Sebuyau terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, manakala Samariang berada dalam kawasan Petra Jaya. Ketiga-tiga kerusi negeri itu mempunyai pengundi majoriti Bumiputera Islam.
Arifiriazul berkata Samariang merupakan antara beberapa kerusi terawal yang ditandingi PAS ketika parti itu mula bertapak di negeri Borneo tersebut pada 2001, bersama-sama Beting Maro.
Parti itu bertanding di lebih banyak kerusi dari semasa ke semasa dan meletakkan 11 calon dalam PRN 2016, tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
PAS mempunyai kira-kira 10,000 ahli di Sarawak, termasuk 1,000 orang daripada sayap bukan Islam.
