PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sahaja tidak cukup untuk membendung keganasan di sekolah tanpa langkah pencegahan, latihan guru dan sokongan kaunselor.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata pendekatan keselamatan perlu beralih daripada tindakan selepas kejadian kepada usaha mencegah keganasan daripada berlaku.

“Kita hendak pencegahan. Orang bicarakan tentang semua benda yang dah berlaku. Kita tak kehendak yang berlaku. Kita nak mencegah daripada berlaku,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahli Parlimen Kuching Bandar Baru, Dr Kelvin Yii, meminta SOP keselamatan sekolah dikaji semula susulan kejadian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun disyaki menyerang guru wanita menggunakan objek dipercayai kapak di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching.
Kelvin turut mempersoalkan langkah kerajaan menyediakan sokongan kesihatan mental kepada mangsa dan pelajar terbabit, selain menggesa penelitian terhadap pengaruh media sosial serta permainan video.
Sementara itu, Fouzi berkata guru disiplin dan kaunselor memerlukan latihan khusus untuk mengendalikan kes buli, pemerasan dan konflik pelajar termasuk menjalankan siasatan serta menentukan tindakan susulan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan langkah terlalu tertumpu pada kemudahan fizikal seperti kamera litar tertutup (CCTV), yang lebih membantu merekod kejadian berbanding mencegahnya.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Lee Lam Thye, pula berkata usaha membendung keganasan perlu meneliti puncanya termasuk kemungkinan masalah kesihatan mental dan tekanan dialami pelajar.

“Saya rasa kes berlaku di sekolah memang ada kaitan dengan isu kesihatan mental. Sejauh mana program-program untuk menangani isu kesihatan mental dan tekanan dialami pelajar? soalnya.
Katanya, usaha meningkatkan keselamatan tidak boleh bergantung pada guru semata-mata kerana mereka turut mempunyai tanggungjawab mengajar.
“Sekolah juga memerlukan sokongan kaunselor yang mencukupi untuk menangani masalah emosi dan tingkah laku pelajar.
“Kita juga nak tanya ibu bapa apa tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak supaya apabila bersekolah, anak-anak berdisiplin dan mematuhi peraturan,” katanya.
Menurutnya, guru perlu dilatih mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan dan merujuk mereka kepada kaunselor, dengan pencegahan memerlukan kerjasama sekolah, keluarga dan masyarakat.
