KANGAR: Seorang lelaki pelarian Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar Nurul Natasha Rizal.
“Suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di sebuah rumah di Kampung Behor Rotan Pahit, Sungai Berembang, Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata kes itu berkaitan penemuan rangka manusia di sini pada penghujung Julai lepas dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
