PETALING JAYA: Wawasan menegaskan hasrat mempertahan DUN Sungai Udang dan Bemban pada PRN Melaka sebagaimana Umno mahu mengekalkan 21 kerusi disandang, kata Presiden Hamzah Zainudin.
Hamzah berkata, menjadi hak Wawasan bertanding dua kerusi itu berdasarkan konsep 'pertahankan kerusi menang' pada PRN lalu.
“Kalau konsepnya Umno kata mereka hendak mempertahankan kerusi yang mereka menang, kenapa pula mereka tak nak beri saya (Wawasan) mempertahankan kerusi untuk kami menang?
“Kalau mereka hendak kerusi kami, kami boleh bagi tetapi duduklah sama-sama. Kita bincang kerusi yang sesuai dan kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun Barisan Nasional (BN),” katanya menurut Utusan Malaysia, di Jasin.
Katanya, Wawasan tidak menolak keperluan menyusun semula pembahagian kerusi, namun rundingan itu perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.
DUN Sungai Udang disandang Dr Aleef Yusof, manakala Bemban disandang Dr Yadzil Yaakub, di mana keduanya merupakan calon Bersatu pada PRN Melaka 2021, sebelum menyertai Wawasan.
Hamzah ketika mengulas lanjut, berkata tidak seharusnya hasrat partinya diketepikan hanya kerana terdapat parti lain yang turut berminat bertanding di kawasan dua kawasan tersebut.
“Kalau mereka hendak kerusi mana-mana sekalipun boleh, tetapi saya hendak maklumkan kami hendak pertahankan kerusi kami. Kalau mereka hendak, kenalah duduk dengan kami untuk kita bincangkan kerusi yang sesuai,” katanya.
