JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memutuskan untuk meneruskan penutupan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari lagi bermula Isnin susulan situasi jerebu.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri, Naqib Md Ghazali berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada tengah hari tadi, tertakluk kepada perkembangan tahap kualiti udara, ramalan cuaca serta penilaian kesihatan semasa.
Beliau berkata laporan pemantauan menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) masih kekal pada paras membimbangkan tanpa perubahan ketara.
"Keputusan juga dibuat berdasarkan pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang sebelum memutuskan pembukaan semula sekolah," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata langkah itu juga bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta keprihatinan kerajaan negeri dalam memberikan keutamaan tertinggi terhadap aspek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh penutupan, berpandukan Manual PdPR Versi 2.0 oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Bagaimanapun, keperluan murid yang terlibat dengan peperiksaan dan pentaksiran turut diberikan perhatian dengan pengecualian secara terhad boleh dipertimbangkan.
"Pengecualian terhad ini tertakluk kepada penyelarasan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat tanpa melibatkan sebarang aktiviti tambahan," katanya.
Naqib berkata JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras dengan ketetapan KPM secara harian serta mendapatkan maklum balas terkini daripada Lembaga Peperiksaan, bagi menyelaras jadual peperiksaan dan pentaksiran antara sekolah di bawah KPM dengan sekolah agama Johor.
Beliau menegaskan bahawa pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di samping pematuhan terhadap garis panduan kesihatan yang ditetapkan.
Mengenai pengoperasian Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan pusat penjagaan kanak-kanak, beliau berkata keputusan untuk meneruskan operasi atau melaksanakan penutupan adalah tertakluk kepada pertimbangan pihak institusi masing-masing.
"Bagaimanapun, ia dengan syarat mematuhi garis panduan yang ditetapkan, iaitu pengoperasian berada di kawasan tertutup serta memakai pelitup muka," katanya.
Sementara itu, Naqib berkata pihak kesihatan turut menyuarakan kebimbangan dari sudut kesihatan awam dan menyaran pencegahan lebih menyeluruh terhadap risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.
“Sepanjang Oktober ini, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan di negeri ini, dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7%,” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan penutupan semua sekolah selama dua hari bermula 8 Okt, disusuli lanjutan penutupan sekolah, termasuk institusi pendidikan selama lima hari bermula 12 Okt lepas.
