PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun ke atas seorang warga Indonesia yang didapati bersalah membunuh seorang pekerja Ladang Tiger di Sime Darby Plantation pada 2023.
Harian Metro melaporkan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, menjatuhkan hukuman itu terhadap Lipus Linus, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Lelaki itu didapati bersalah membunuh Herman Muhtar, 33, yang juga warga Indonesia dan buruh di ladang terbabit.
Lipus didakwa membunuh Herman di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation di Tawau antara 11.25 pagi hingga 12.30 tengah hari 19 Julai 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Lipus berkuat kuasa tarikh tangkapan pada 20 Julai 2023, tetapi tiada sebatan dikenakan kerana tertuduh kini berusia 53 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan Lipus dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman bagi tindakan pengusiran ke negara asal.
Berdasarkan fakta kes, Herman pergi memancing bersama dua rakannya di sebuah kolam di ladang itu dan pulang terlebih dahulu. Tidak lama kemudian, dua rakannya terdengar jeritan Herman, sebelum melihat Lipus melalui kawasan itu sambil membawa tombak.
Mereka memaklumkan kejadian itu kepada rakan lain yang menemui mangsa terbaring dengan beberapa kesan luka tusukan pada tubuhnya.
Lipus ditahan di Tapak Seratus Tahun, Sabindo, Tawau pada 11.33 malam hari sama.
