GEORGE TOWN: Rapid Bus Sdn Bhd memulakan perkhidmatan bas elektrik secara berperingkat bermula dengan Rapid Penang, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata sebanyak 250 bas elektrik akan diperoleh dalam fasa pertama, dengan 175 diperuntukkan kepada Rapid KL dan 75 kepada Rapid Penang.
Daripada jumlah itu, 150 bas akan diperkenalkan dalam fasa pertama, manakala baki 100 lagi menyusul dalam fasa kedua.
Setakat 13 Okt, Rapid Bus menerima 52 bas elektrik dengan 37 untuk Rapid KL dan 15 bagi Rapid Penang. Semua 250 bas dijangka diterima menjelang Mac tahun depan.
“Ini menandakan era baharu pengangkutan awam Pulau Pinang, dengan bas yang lebih mesra alam dan senyap,” katanya ketika pelancaran bas elektrik di Depoh Rapid Penang, di sini.
Bagaimanapun, Loke berkata operasi bas yang lebih senyap berbanding bas diesel boleh menyebabkan pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain tidak menyedari kehadiran kenderaan itu.
Beliau menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambil kira aspek itu dalam perancangan pengurusan trafik dan laluan pejalan kaki, khususnya di kawasan yang sibuk.
Pengenalan bas elektrik itu sebahagian daripada rancangan Prasarana Malaysia Bhd memperoleh 1,600 bas elektrik secara berperingkat dari tahun ini hingga 2031 bagi menggantikan kenderaan diesel.
Rapid Bus akan menggunakan dua jenis bas elektrik, masing-masing sepanjang 12m dan 8.25m, bagi memenuhi keperluan kapasiti penumpang serta keadaan trafik berbeza.
Tak boleh larang
Sementara itu, Loke berkata kerajaan tidak boleh melarang warga asing menggunakan bas awam, susulan gesaan supaya Rapid KL menyekat penumpang asing kerana dakwaan kelakuan tidak tertib.
Beliau berkata, polis bantuan Rapid KL akan mengambil tindakan terhadap aduan salah laku, namun larangan menyeluruh terhadap penumpang asing tidak praktikal untuk dilaksanakan.
“Kita bukan negara yang menyisihkan orang. Mana boleh kita larang warga asing menaiki bas. Itu cadangan yang mustahil dilaksanakan.
“Kalau ada penumpang berkelakuan tidak tertib atau membuat apa-apa kelakuan yang tidak senonoh, sudah tentu tindakan diambil dan mereka boleh ditahan dan sebagainya kalau menyebabkan gangguan kepada orang ramai atau kepada penumpang lain. Kita ada polis bantuan di semua MRT dan LRT di seluruh negara,” katanya.
Loke berkata pemandu bas juga boleh melaporkan sebarang kejadian kepada polis.
Beliau mengulas dakwaan pengguna media sosial, sesetengah warga asing dalam bas Rapid KL menyebabkan penumpang tempatan berasa tidak selesa, termasuk menukar pakaian anak di dalam bas dan merosakkan kemudahan.
Sesetengah pengguna media sosial menggesa Rapid KL melarang warga asing menggunakan perkhidmatan basnya atau mengambil tindakan terhadap mereka yang berkelakuan tidak tertib.
