PETALING JAYA: Pengalaman mentadbir Melaka dan kedudukan dalam kerajaan persekutuan menjadi asas seorang pemimpin Amanah mencadangkan Adly Zahari sebagai ‘poster boy’ dan calon ketua menteri Pakatan Harapan (PH) pada PRN 14 Nov ini.
Cadangan itu dibuat ketika timbul spekulasi PH mungkin mengetengahkan pemimpin PKR sebagai ‘poster boy’ dan calon ketua menteri bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Adly Zahari mempunyai kelebihan besar kerana pernah menerajui kerajaan negeri Melaka selepas PRU14 (2018-2020).
"Tempoh pentadbirannya sering dinilai positif oleh penyokong kerana pendekatan yang inklusif dan mesra rakyat,” kata Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Hayatul Kamil.
Hayatul yang juga ketua Amanah Bandar Tun Razak berkata, pencalonan semula Adly mampu membawa mesej kestabilan dan kesinambungan pentadbiran kepada pengundi, berdasarkan rekod kepimpinannya sebelum ini.
Menurutnya, kedudukan Adly sebagai timbalan menteri pertahanan turut memberikan kelebihan kerana beliau mempunyai pengalaman pentadbiran di peringkat negeri dan nasional.
“Jawatan beliau sebagai timbalan menteri pertahanan memberikan kelebihan dari segi status politik nasional.
"Pengalaman ini meletakkan beliau pada standard yang lebih tinggi berbanding tokoh-tokoh tempatan lain yang mungkin hanya aktif di peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan.
Hayatul berkata, PH perlu mencapai persetujuan awal berhubung calon ketua menteri bagi mengelakkan persepsi berlaku perebutan kuasa dalam gabungan itu sehingga menjejaskan keyakinan pengundi.
Katanya, kesepakatan menerima Adly sebagai calon ketua menteri pilihan bersama akan membolehkan PKR, DAP dan Amanah menumpukan usaha memenangi kerusi penting seperti Rembia, Pengkalan Batu, Rim dan Kuala Linggi.
“Konflik merebut kerusi atau jawatan KM sebelum pilihan raya dimenangi adalah langkah berisiko,” katanya sambil mengingatkan PH mengambil pengajaran daripada kesilapan lalu yang boleh menjejaskan tumpuan jentera pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau menekankan keputusan muktamad mengenai calon ketua menteri tetap bergantung kepada rundingan pembahagian kerusi dan pertimbangan pucuk pimpinan tertinggi PH.
