PETALING JAYA: Kanak-kanak seawal usia 12 tahun telah direkrut oleh golongan ekstremis menerusi permainan dalam talian seperti Roblox, walaupun pengaruh kumpulan IS dilihat semakin lemah, kata pakar pembanterasan keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Golongan ekstremis akan mendekati kanak-kanak di platform permainan untuk berkawan, dan kemudian memasukkan mereka ke dalam kumpulan tertutup, di mana mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan, kata Ayob, bekas timbalan ketua polis negara yang pernah mengetuai bahagian antipengganas di Bukit Aman.
"Baru-baru ini kita tangkap budak-budak berumur 12, 14 dan 15 tahun. Mereka mula direkrut melalui permainan seperti Roblox, kemudian masuk ke kumpulan lain yang berasingan. Di situlah mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan keganasan," katanya lapor Malaysia Gazette.
Ayob berkata demikian pada satu konvensyen sempena sambutan Maulidur Rasul di Kuala Lumpur.
Beliau menarik perhatian kepada kes pada 2024, membabitkan seorang pemuda menyerang sebuah balai polis menggunakan parang dan merampas senjata api. Lelaki berusia 20-an itu dipercayai dipengaruhi ideologi Salafi Jihadi, katanya.
Menurut Ayob, remaja itu percaya tindakannya benar dan menganggap kematian ketika melakukan serangan berkenaan sebagai mati syahid.
Berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes keganasan sejak 1995, Ayob berkata individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan lazimnya menolak pegangan agama arus perdana, dan mentafsir Al-Quran serta hadis mengikut kefahaman sendiri.
Ayob menasihatkan masyarakat supaya berwaspada terhadap penyebaran fahaman ekstremis dibawa dari luar negara, dan memperkukuh kefahaman Islam bagi membendung penularan fahaman ekstremis.
