PETALING JAYA: Kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu akan kekal ditandingi parti penyandang termasuk Ayer Keroh dimenangi DAP, kata Azman Abidin.
Setiausaha politik kepada perdana menteri berkata, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan pimpinan PH Melaka, sekali gus menafikan dakwaan PKR akan mengambil alih kerusi DAP.
“Mungkin laporan media yang memetik PKR akan bertanding di Ayer Keroh itu berdasarkan salah faham. Kenyataan mengenai DUN Ayer Keroh merujuk kepada bakal ditandingi komponen PH, bukannya PKR secara khusus,” katanya kepada FMT.
Azman yang juga ketua PKR Wilayah Persekutuan berkata, partinya dijangka bertanding di tujuh hingga lapan kerusi, antaranya Paya Rumput, Rembia, Machap, Lendu dan Klebang.
Bagaimanapun, katanya pengumuman rasmi pembahagian kerusi akan dibuat pimpinan tertinggi PH.
Beliau turut menegaskan hubungan antara parti komponen PH kekal harmoni dan semua parti akan bergerak sebagai satu pasukan menghadapi PRN Melaka.
Terdahulu, pemimpin DAP Melaka Kerk Chee Yee mempersoalkan tuntutan seorang pemimpin PKR supaya parti itu bertanding di Ayer Keroh, yang dianggap kubu kuat DAP.
Kerk, yang menjadi Adun Ayer Keroh sejak 2018 sehingga DUN dibubarkan bulan lalu berkata rundingan pembahagian kerusi PH Melaka sudah selesai.
Kenyataan itu menyusul laporan media mengenai kenyataan Azman bahawa PKR menyasarkan lapan kerusi pada PRN Melaka, termasuk Ayer Keroh.
