Mengangkat konsep "Teroka STEM, Kenali Nuklear, Cipta Masa Depan", program itu diusahakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Nuklear sering dikaitkan dengan letupan, radiasi dan tragedi besar dunia. Bagi sesetengah pelajar, itulah gambaran pertama yang muncul setiap kali teknologi berkenaan disebut
Namun, tanggapan itu mula berubah apabila mereka diberi peluang melihat sendiri bagaimana teknologi nuklear digunakan dalam kehidupan menerusi Kem Rakan Nuklear di MRSM Kuala Kubu Bharu.
Dilaksanakan pada 14, 15 dan 17 September lalu, program di bawah Program Advokasi Nuklear membawa pelajar mendekati dunia nuklear menerusi eksperimen, interaksi bersama saintis serta lawatan ke persekitaran penyelidikan sebenar.
Mengangkat konsep "Teroka STEM, Kenali Nuklear, Cipta Masa Depan", program yang diusahakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu memberi tumpuan kepada STEM, sains dan teknologi nuklear serta penerokaan kerjaya.
Dirangka menerusi tiga fasa iaitu Kenali, Eksplorasi dan Hayati, pelajar tidak hanya menjadi pendengar, sebaliknya terbabit dalam aktiviti hands-on bagi memahami konsep yang sebelum ini lebih banyak dipelajari menerusi buku teks.

Guru Kimia MRSM Kuala Kubu Bharu, Aida Azira Mohamed berkata, pendekatan sedemikian membantu pelajar menghubungkan teori di dalam kelas dengan penggunaan teknologi sebenar.
"Dalam dunia sains dan teknologi kita memang belajar mengenai radioaktif. Jadi menerusi program seperti ini, mereka boleh aplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas kepada kehidupan sebenar.
"Kalau sebelum ini hanya mendengar atau melihat daripada video dan Internet, kali ini mereka mendapat pendedahan secara langsung bahawa nuklear mempunyai banyak manfaat,"
katanya.Guru daripada bidang lain turut mendapat pengetahuan baharu mengenai penggunaan teknologi nuklear
Menariknya, pendedahan itu bukan hanya memberi kesan kepada pelajar aliran sains apabila guru daripada bidang lain turut mendapat pengetahuan baharu mengenai penggunaan teknologi nuklear termasuk dalam perubatan dan penghasilan makanan.
Guru Pendidikan Islam, Mohamad Faizul Mohamed Din mengakui beliau sendiri sebelum ini lebih cenderung melihat nuklear sebagai sesuatu yang berbahaya.
Namun, penerangan secara langsung daripada pakar dan wakil Agensi Nuklear Malaysia membuka perspektif baharu apabila beliau mengetahui teknologi berkenaan telah lama digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perindustrian dan perubatan.
Menurutnya, program seumpama itu wajar diperluaskan kerana bukan semua orang mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menerangkan isu berkaitan nuklear terutama melibatkan sinaran, keselamatan dan penggunaannya.

Perubahan sama dapat dilihat dalam kalangan pelajar, Amar Faiq bin Baharuddin, 15, mengakui sebelum mengikuti program itu, nuklear baginya lebih sinonim dengan bahaya dan perkara negatif.
"Secara jujurnya, saya pun ingat nuklear adalah sesuatu yang bahaya dan negatif. Tetapi menerusi program ini saya dapat memahami teknologi nuklear sangat berguna dan banyak perkara baharu yang saya pelajari.
"Saya baru sedar teknologi nuklear digunakan dalam banyak perkara dalam kehidupan harian. Saya memang meminati sains dan teruja apabila diperkenalkan kepada teknologi ini," katanya.
Rakannya, Ameera Mohd Erwan pula berkata, pengetahuannya mengenai nuklear sebelum ini banyak terbentuk daripada kisah Hiroshima, Chernobyl, letupan dan tragedi.
Selepas mengikuti Kem Rakan Nuklear, beliau mula memahami teknologi tersebut boleh digunakan secara selamat apabila dikendalikan dengan betul dan terkawal, malah mula berminat meneroka bidang itu sebagai antara pilihan kerjaya pada masa hadapan.

Antara kekuatan program berkenaan ialah pendekatan praktikal apabila pelajar menjalani mini eksperimen menggunakan kebuk awan untuk melihat jejak zarah, mengenali alat pengukur sinaran serta memahami fungsi peralatan perlindungan diri.
Mereka turut menyertai Bengkel Pencarian Rakan Nuklear dengan menghasilkan video pendek bagi berkongsi fakta dan membetulkan salah faham mengenai teknologi nuklear.
Pengalaman berkenaan kemudian dilengkapkan dengan lawatan ke fasiliti Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom, membawa mereka daripada bilik darjah kepada persekitaran sebenar dunia penyelidikan.
Program outreach ke sekolah, komuniti dan lokasi lain termasuk kawasan pedalaman akan terus dilaksanakan
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal berkata, pendekatan pembelajaran secara interaktif penting dalam menarik minat generasi muda untuk memahami teknologi nuklear melalui pengalaman yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Katanya, pendekatan sama turut diketengahkan menerusi Program Pembudayaan STI Bersepadu Zon Sabah 2026 di Universiti Malaysia Sabah , baru-baru ini apabila Program Advokasi Nuklear membawa pengisian antaranya Misi Eksplorasi Nuklear berkonsepkan Escape Room.
"Apabila sains boleh diteroka dan dialami sendiri, pelajar lebih mudah untuk bertanya, memahami dan mengaitkannya dengan apa yang mereka pelajari.
"Kita mahu generasi muda melihat teknologi nuklear bukan semata-mata daripada sudut risiko, tetapi memahami bahawa teknologi ini mempunyai aplikasi dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pertanian, industri dan penyelidikan,"
katanya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal
Image via Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)Menurutnya, pendedahan sejak di bangku sekolah juga penting bagi membuka pandangan generasi muda terhadap peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi nuklear.
"Bukan semua pelajar yang mengikuti program ini akan menjadi saintis nuklear, tetapi kita mahu mereka tahu bidang ini mempunyai banyak cabang dan ruang yang luas untuk diterokai pada masa hadapan.
"Lebih penting, mereka perlu mempunyai asas kefahaman yang betul supaya apabila berdepan maklumat mengenai nuklear, mereka mampu menilai berdasarkan fakta serta mendapatkan penjelasan daripada sumber yang tepat,"
katanya.Beliau berkata, program outreach ke sekolah, komuniti dan lokasi lain termasuk kawasan pedalaman akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang mendapatkan pendedahan mengenai sains dan teknologi nuklear dapat diperluaskan kepada lebih ramai generasi muda. Ini selari dengan pendekatan Nuklear Untuk Rakyat (NUR).
Pada masa sama, interaksi secara langsung menerusi program berkenaan membolehkan MOSTI melihat tahap pemahaman masyarakat, mengenal pasti jurang pengetahuan yang masih wujud dan seterusnya menyesuaikan pendekatan advokasi mengikut kumpulan sasaran.
"Matlamat akhirnya ialah membina generasi yang bukan sahaja berminat terhadap sains, tetapi mempunyai keyakinan untuk bertanya, menilai maklumat secara rasional dan melihat teknologi sebagai bidang yang boleh mereka terokai serta manfaatkan pada masa hadapan," katanya.
Untuk rekod, Program Advokasi Nuklear dilaksanakan dengan kerjasama Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik manakala Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara bertindak sebagai rakan pelaksana.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

FOLLOW SAYS
