PETALING JAYA: Isi rumah di Malaysia berbelanja lebih banyak untuk makan di luar pada 2024, dengan purata RM902.70 sebulan diperuntukkan untuk makan di luar, berbanding RM875.80 untuk makanan di rumah, menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Laporan 'The State of Households 2026' oleh KRI menyatakan, trend ini dikenal pasti di tengah-tengah kebimbangan yang kian meningkat mengenai tahap kesihatan rakyat, dengan lebih separuh daripada orang dewasa di Malaysia dikategorikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan atau obes pada 2023.
Perbelanjaan isi rumah untuk makan di luar meningkat merentasi semua kumpulan pendapatan antara 2019 dan 2024, namun lonjakan itu lebih ketara dalam kalangan 80% isi rumah terbawah (B80), dengan purata perbelanjaan meningkat hampir 1.5 kali ganda sepanjang tempoh lima tahun tersebut.
Bagi 20% isi rumah teratas (T20), perbelanjaan untuk makan di luar mencatatkan peningkatan kurang daripada 1.3 kali ganda.
“Faktor yang mungkin mendorong peningkatan berterusan dalam perbelanjaan makan di luar ini termasuk kos sara hidup yang lebih tinggi serta perubahan gaya hidup,” menurut laporan itu.
“Perkembangan ini berisiko memberi implikasi terhadap kesihatan awam memandangkan tabiat makan di luar sering dikaitkan dengan kualiti diet yang rendah, yang seterusnya meningkatkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD).”
Laporan itu turut mendedahkan bahawa bahagian populasi yang tergolong dalam kategori berat badan berlebihan dan obes, faktor risiko utama bagi NCD, meningkat antara 2019 dan 2023.
Pada 2023, sebanyak 32.6% orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan manakala 21.8% lagi obes, bermakna lebih separuh daripada populasi dewasa (54.4%) melebihi julat berat badan sihat.
Laporan itu turut menekankan beberapa trend kesihatan membimbangkan yang lain, termasuk penurunan tahap aktiviti fizikal antara 2019 dan 2023, terutamanya di kawasan bandar, di mana jenis pekerjaan, pilihan pengangkutan, gaya hidup dan persekitaran tempat tinggal mungkin mempengaruhi tahap keaktifan.
Sebahagian besar rakyat Malaysia juga gagal memenuhi saranan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada 2023, tambahnya.
Sementara itu, diabetes muncul sebagai antara lima punca utama kematian di kebanyakan negeri antara 2022 dan 2024.
