PETALING JAYA: Istana Negeri Sembilan menjelaskan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak memerlukan jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja, susulan laporan media berhubung perkara berkenaan.
Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali turut menjelaskan Tuanku Muhriz tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku pengerusi mesyuarat untuk menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja.
Jelasnya, baginda juga telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung mulai esok hingga 15 Okt.
"Tuanku Muhriz akan memberi tumpuan kepada urusan negeri, khususnya Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu," katanya.
Istana Negeri Sembilan turut menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai perkara itu kepada mana-mana pihak atau organisasi media sebelum ini.
Awal hari ini, The Straits Times melaporkan Sultan Nazrin telah menjemput Tuanku Muhriz menghadiri mesyuarat berkenaan, namun baginda dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja.
Perkembangan itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah ketika krisis institusi diraja negeri itu berlarutan sejak April lalu.
Krisis berkenaan tercetus apabila empat individu yang mendakwa sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebelum sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar, diisytiharkan sebagai pemerintah baharu pada Jun lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan tindakan itu tidak mempunyai kesan undang-undang dan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
