PUTRAJAYA: MyDigital ID tidak dikuasakan mana-mana teknologi blok rantai pihak ketiga, bertentangan dengan laporan baru-baru ini, menurut pengendali platform identiti digital itu.
"My Digital ID Sdn Bhd ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan pengawasan Majlis Keselamatan Negara serta pemantauan Agensi Keselamatan Siber Negara," katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu memaklumkan MyDigital ID telah mendaftarkan 83% daripada populasi aktif secara digital di Malaysia, menghubungkan lebih 14 juta rakyat negara ini kepada lebih 1,000 perkhidmatan merentas 204 aplikasi.
Tegasnya, MyDigital ID ialah platform identiti digital selamat dan dipercayai yang direka untuk memperkukuh serta mempermudah pengesahan identiti dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.
"Ia berfungsi sebagai penyelesaian log masuk tunggal bagi perkhidmatan digital yang menawarkan keselamatan dan kebolehcapaian lebih baik untuk rakyat Malaysia mengakses perkhidmatan dalam talian serta menjalankan transaksi.
"MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data peribadi dan tidak menggantikan MyKad bagi tujuan pengenalan diri."
