PETALING JAYA: PAS dijangka menjadi penentu kepada tuntutan Wawasan untuk mempertahankan Sungai Udang dan Bemban dalam sebarang kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka, kata penganalisis.
Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya, berkata PAS mungkin mengambil pendekatan pragmatik dengan mengutamakan kerjasama bersama Umno dan BN seperti diiktiraf oleh Presidennya Hadi Awang, baru-baru ini.

Media melaporkan Hadi berkata, PAS menerima hakikat BN akan terus menerajui Melaka dalam kerangka kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang PRN.
"Saya lihat PAS akan lebih utamakan kerjasama dan serahkan sepenuhnya kepada keputusan Umno-BN untuk bertanding di dua kerusi itu berbanding terjerumus sama dengan krisis antara Wawasan dengan BN untuk mendapatkan kerusi Sungai Udang dan Bemban.
"Memang PAS dan Wawasan berada dalam satu gabungan politik tetapi dalam politik Melaka, PAS sedar BN lebih utama berbanding Wawasan kerana BN kuat dan dominan,” katanya kepada FMT.
Tawfik berkata, PAS juga mempunyai sebab untuk menjauhkan diri daripada pertikaian menentukan dua kerusi itu memandangkan aktiviti Perikatan Nasional (PN) ketika ini digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
JPPM menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 Sept susulan aduan Bersatu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penggunaan lambang gabungan itu pada PRN Melaka.
Sabtu lalu, Presiden Wawasan Hamzah Zainudin menegaskan hasrat parti itu mempertahan DUN Sungai Udang dan Bemban pada PRN Melaka sebagaimana Umno mahu mengekalkan 21 kerusi disandang.
Menurutnya, menjadi hak Wawasan bertanding dua kerusi itu berdasarkan konsep ‘pertahankan kerusi menang’, merujuk kemenangan Dr Aleef Yusof (Sungai Udang) dan Dr Yadzil Yaakub (Bemban).
Mereka menang atas tiket PN ketika Bersatu menjadi sebahagian parti komponen gabungan itu pada PRN 2021. Kedua-duanya kini menyertai Wawasan.
Namun, Sungai Udang dijangka menjadi antara titik pertikaian utama selepas Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh mengesahkan timbalannya Rais Yasin sebagai calon gabungan itu bagi kerusi terbabit.
Rais sebelum ini penyandang DUN Paya Rumput dan penyelaras di Sungai Udang.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata pertikaian mengenai Sungai Udang dan Bemban timbul kerana Umno serta Wawasan tidak berunding secara langsung mengenai pembahagian kerusi.
“Pembahagian kerusi Wawasan adalah terletak kepada tanggungjawab PAS,” katanya.
Beliau berkata, ada kemungkinan jika kerjasama Umno-PAS dipersetujui, formula mungkin digunakan ialah BN mempertahankan 21 kerusi dimenanginya pada PRN 2021 manakala tujuh kerusi lain diselesaikan PAS bersama Wawasan.
"PAS dan Wawasan perlu berunding antara satu sama lain siapa yang patut bertanding," katanya.
Sehingga kini belum ada sebarang kerjasama diumum pada PRN Melaka yang bakal berlangsung 14 Nov depan.
