JOHOR BAHRU: Sebanyak 43 individu didenda antara RM1,000 hingga RM9,000 oleh tiga Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan menggunakan MyKad palsu dan salinan MyKad milik orang lain.
Majistret Nurzihan Abdul Rehman, A Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab turut memerintahkan kesemua tertuduh, yang berusia antara 18 hingga 49 tahun, terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan warga Indonesia serta 37 warga Filipina itu, dipenjara antara satu hingga enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut tuduhan yang dibacakan secara berasingan, 35 individu didakwa menggunakan salinan MyKad milik orang lain, manakala lapan lagi didakwa menggunakan MyKad palsu sebagai dokumen pengenalan diri.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dua kilang, iaitu Gorin Technical Industry (Malaysia) Sdn Bhd dan Masimo Medical Technologies (M) Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, antara 10 pagi hingga 8 malam, 20 Okt lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Ramzi Adnan, Noorleelawathi Man dan Md Shahedan Md Taib.
Peguam Amir Haikal, Jackson Danial, Heng Wang Qian Wei, Rashidah Baharom dan Muhd Akmal Mazlan mewakili 10 tertuduh, manakala selebihnya tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan JPN mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri milik orang lain untuk pendatang asing mendapatkan pekerjaan, hasil Op Jejak 1.0 dan Op Jejak 2.0 di kilang berkenaan pada 20 Okt.
