PETALING JAYA: Pasangan jaguh, Pearly Tan-M Thinaah, merangkul gelaran juara Terbuka Denmark, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia dalam acara beregu wanita.
Pasangan nombor 5 dunia itu mengambil masa 36 minit untuk menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita 21-18, 21-11 dalam aksi final Jelajah Dunia Super 750 di Arena SJ Bank, Odense.
Suzuki-Yamakita merupakan pasangan nombor 21 dunia.
Pearly-Thinaah menjadi pasangan Malaysia kedua yang menjuarai Terbuka Denmark. Kemenangan ini juga membolehkan mereka merangkul dua gelaran siri jelajah dunia tahun ini.
Malaysia kali terakhir memenangi gelaran beregu wanita menerusi Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada 2008.
Ini merupakan gelaran Jelajah Dunia kedua buat Pearly-Thinaah, selepas menjuarai Terbuka Indonesia pada Januari.
Kejayaan ini merupakan satu kebangkitan buat Pearly-Thinaah, yang sebelum ini bergelut untuk mengembalikan prestasi terbaik, selepas Pearly terpaksa berehat selama dua bulan pada Jun lalu akibat kecederaan belakang.
Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan mereka dalam senarai kelayakan ke akhir jelajah dunia pada Disember, yang menghimpunkan lapan pasangan terbaik. Mereka kini berada di kedudukan keenam dan dijangka melonjak satu atau dua anak tangga apabila senarai terkini dikeluarkan pada Selasa.
Selaku juara, Pearly-Thinaah akan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah USD70,300 (RM 287,000).
