KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 akan mewujudkan pekerja 'dua darjat' susulan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, pengecualian kepada PMKS dengan hasil jualan bawah RM50 juta itu menyebabkan pekerja syarikat besar menikmati gaji minimum RM2,000, manakala pekerja PMKS kekal menerima RM1,700.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Hamzah berkata keadaan itu membimbangkan memandangkan PMKS menggaji kira-kira lapan juta orang atau separuh daripada tenaga kerja negara.
“Pekerja syarikat besar, lantainya RM2,000. Pekerja PMKS, lantainya kekal RM1,700,” katanya.
Hamzah berkata, jurang gaji RM300 itu boleh mendorong pekerja PMKS berpindah ke syarikat besar yang menawarkan gaji lebih tinggi, sekali gus menyukarkan majikan kecil mengekalkan pekerja.
Menurutnya, pemilik kedai, bengkel dan kilang kecil akhirnya terpaksa memilih sama ada menaikkan gaji kepada RM2,000 walaupun tidak mampu atau berdepan risiko kehilangan pekerja.
Beliau turut mempersoalkan pengurangan cukai pendapatan satu mata peratusan kepada PMKS kerana langkah itu tidak membantu syarikat yang belum mencatatkan keuntungan.
“Jadi pengecualian itu hanya wujud di atas kertas. PMKS tetap menanggung kosnya, cuma tanpa bantuan,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah menggesa kerajaan menyeragamkan kadar gaji minimum bagi semua pekerja, selain menyediakan bantuan atau insentif peralihan kepada majikan yang memerlukan.
Beliau mencadangkan Dana Insentif PMKS disalurkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu majikan kecil menaikkan gaji pekerja seiring peningkatan produktiviti.
Katanya, bantuan itu perlu diberikan secara bersyarat kepada majikan yang menaikkan gaji, menyediakan latihan pekerja dan melabur dalam automasi.
Hamzah berkata mekanisme berkenaan boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman Program Subsidi Upah melalui Perkeso yang membantu mengekalkan jutaan pekerjaan ketika pandemik.
Beliau turut mencadangkan pelepasan cukai korporat satu mata peratusan selama tiga tahun kepada syarikat selain PMKS yang menaikkan gaji pekerja kepada paras minimum baharu.
“Kerajaan yang mendengar rintihan PMKS adalah kerajaan yang sanggup berkongsi kos peralihan untuk beberapa tahun, sehingga produktiviti syarikat itu sendiri mampu menampung gaji yang lebih tinggi,” katanya.
