PETALING JAYA: Adun Padungan, Chong Chieng Jen digantung daripada menghadiri baki sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas usul mendakwa ketua DAP negeri itu mengelirukan DUN berhubung dokumen Belanjawan Sarawak 2027 serta bertindak tidak wajar semasa perbahasan diluluskan hari ini.
Dayak Daily melaporkan usul itu dibentangkan Menteri Pengangkutan negeri merangkap Adun Senadin, Lee Kim Shin yang disokong Menteri di Jabatan Premier merangkap Adun Kakus, John Sikie Tayai.
Seramai 62 Adun mengundi menyokong usul itu, satu undi menentang dan seorang lagi berkecuali.
Usul itu mendakwa Chong sengaja mengelirukan DUN pada 13 Okt lalu dan bertindak tidak wajar ketika perbahasan belanjawan keesokannya, termasuk berulang kali membuat dakwaan tidak dapat dibuktikannya.
Beliau turut dituduh menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan dan menghina Adun lain serta mengaitkan mereka dengan motif tidak wajar.
Ketika membentangkan usul itu, Lee merujuk kenyataan Chong pada 13 Okt lalu yang mempersoalkan kebolehpercayaan dokumen belanjawan selepas membangkitkan isu kesilapan penomboran halaman.
Lee memetik Chong berkata: "Lebih penting lagi, jika kesilapan serius seperti ini boleh berlaku dalam perkara asas seperti penomboran halaman dokumen, sejauh manakah kita boleh mempercayai angka lebih terperinci dalam dokumen belanjawan?"
Lee kemudian merujuk respons Yang Dipertua Dewan pada 14 Okt lalu, apabila Asfia Awang Nassar menyifatkan kenyataan Chong "tidak wajar dan berniat jahat".
"Di bawah Peraturan Mesyuarat 32(12), mana-mana ahli membuat sebarang kenyataan di Dewan dengan sengaja mengelirukan Dewan dianggap melanggar peraturan atau menghina Dewan," menurut petikan Hansard yang memetik kenyataan Asfia.
Lee turut menyentuh kenyataan Chong yang ditujukan kepada Yang Dipertua Dewan: "Jadi, Tuan Speaker, Tuan membuang banyak masa saya...Saya tahu Tuan mempunyai kuasa, tetapi tolong berlaku adil kepada saya..."
Satu lagi kenyataan yang dipetik dalam usul itu ialah kenyataan Chong berhubung Adun Kota Sentosa, Wilfred Yap: "Kota Sentosa berhalusinasi. Dia sangka perbuatan jenayah sedang dilakukan."
Lee berkata, Peraturan Mesyuarat menyediakan kerangka bagi perbahasan rancak, di samping memelihara maruah Dewan dan memastikan persidangan berjalan dengan tertib.
"Setiap ahli Dewan mempunyai hak untuk bercakap, bertanya, tidak bersetuju dan mengkritik kerajaan. Semua ini merupakan ciri penting demokrasi berparlimen dan mesti dihormati. Tetapi, hak itu turut disertai tanggungjawab."
"Setiap ahli mesti mematuhi Peraturan Mesyuarat, menghormati kewibawaan speaker serta berhati-hati ketika membuat kenyataan dan tuduhan di dalam Dewan."
