KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen diingatkan menjaga akhlak dan berhati-hati menggunakan istilah berkaitan agama yang boleh menimbulkan salah faham serta mencetuskan pertikaian berpanjangan di Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata penggunaan perkataan seperti ‘munafik’ mungkin dianggap biasa oleh individu mempunyai pengetahuan agama mendalam, tetapi boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang kurang memahami maksudnya termasuk orang bukan Islam.
“Saya bukan sekolah agama, saya sekolah Inggeris yang amat-amat takut menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang mungkin tinggi yang saya tak faham. Bagi saya kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus. Sebab saya bukan daripada sekolah agama.
“Dan begitulah juga orang Islam dan orang bukan Islam yang bila dengar perkataan-perkataan ini dia berdebar. Apatah lagi diucapkan oleh orang yang berpengetahuan agama,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Ahli Parlimen perlu mengambil kira tahap pemahaman berbeza dalam kalangan rakan mereka ketika menggunakan istilah sedemikian termasuk wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Justeru, beliau mencadangkan Ahli Parlimen menggunakan perkataan yang tidak kontroversi bagi mengelakkan perbahasan tidak berkesudahan.
Katanya, pertikaian mengenai penggunaan bahasa sedemikian hanya membazirkan masa persidangan yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan masalah rakyat.
“Tak payahlah kita, kita tahu kita hebat, kita sekolah agama dan sebagainya. Tapi itu memberikan ruang-ruang yang agak menakutkan kalau orang lain tak faham.
"Jadi, ini membuka ruang perbahasan yang tidak akan habis sampai bila-bila. Sebab itu saya mintalah…saya mohon sangat-sangat supaya menjaga akhlak,” katanya.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang penggunaan perkataan kurang sopan, susulan ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan ketika membahaskan Belanjawan 2027.
Rayer mendakwa, Takiyuddin memetik hadis sebelum menterjemahkannya ke bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan ‘munafik’ dan ‘hipokrit’, yang menurutnya ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta belanjawan yang dibentangkan.
Beliau berkata, tindakan itu keterlaluan dan meminta timbalan speaker Dewan Rakyat membuat keputusan berhubung penggunaan perkataan berkenaan.
Rayer turut mengingatkan timbalan speaker sebelum ini beberapa kali menasihatkan Ahli Parlimen berpada-pada ketika berbahas.
Sementara itu, Johari berkata akan merujuk hansard sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut, esok.
Beliau tidak berada di dalam Dewan ketika perbahasan berlangsung dan tidak mendengar sendiri perkara dibangkitkan.
