PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Dis ini untuk mendengar permohonan 10 bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan bagi mencabar keputusan pemerintah negeri itu membatalkan pelantikan mereka bulan lepas.
Peguam Hafarizam Harun mewakili bekas exco, dan peguam Marisa Regina Mohd Aris Rizal yang mewakili kerajaan Negeri Sembilan, mengesahkan tarikh pendengaran itu ketika dihubungi Bernama, selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azaraorni Abd Rahman.
Sepuluh individu itu terdiri daripada Mohd Faizal Ramli; Zaifulbahri Idris; Mustapha Nagoor; Siow Kong Choon; Siti Nur Umaira Hasim; Mohd Asna Amin; Mohd Razi Ali; Suhaimizan Bizar; Mohd Fairuz Isa; dan Razali Abu Samah.
Mereka menfailkan notis usul pada 14 Okt lepas, menamakan setiausaha kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden.
Menurut notis usul itu, mereka meminta mahkamah menentukan tiga persoalan undang-undang berhubung kesan dan tafsiran peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang berbangkit daripada saman pemula difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.
Pada 5 Okt lepas, mereka menfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahihan warta pembatalan pelantikan mereka sebagai exco kerajaan Negeri Sembilan.
Antara persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada Perkara 38(5) apabila dibaca bersama Perkara 38(2), 38(3), 38(4), 40(1), 40(1A) dan 40(2) UUTKNS membenarkan Yang Dipertuan Besar membatalkan pelantikan seseorang exco tanpa nasihat menteri besar.
Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, mereka memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan exco seperti diwartakan pada 24 Sept lepas dibuat mengikut UUTKNS dan sama ada pembatalan itu terbatal, tidak sah serta tidak mempunyai kuat kuasa.
Satu lagi persoalan adalah sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 28(1) UUTKNS, membawa maksud bahawa istilah 'Raja Pemerintah' merujuk kepada Yang Dipertuan Besar yang mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan seseorang exco atas perkenan baginda sendiri tanpa nasihat menteri besar.
Sekiranya jawapan kepada persoalan itu ialah negatif, sama ada pemecatan mereka bertentangan dengan perlembagaan negeri.
Pada 20 Sept lepas, Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan pelantikan mereka diwartakan pada 24 Sept lepas, dengan pemecatan berkuat kuasa mulai 20 Sept.
Menurut warta itu, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan Yang Dipertuan Besar.
