GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki disyaki menghalang laluan sebuah ambulans di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram, dekat sini, yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata pihaknya mengesan video berdurasi 44 saat yang dimuat naik menerusi akaun TikTok “MRCS Penang” hari ini memaparkan seorang penunggang motosikal menghalang laluan ambulans.
“Susulan video tular itu, polis berjaya mengesan dan menahan lelaki tersebut hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan.
Katanya, tindakan menghalang laluan kenderaan kecemasan boleh menjejaskan usaha menyelamatkan nyawa.
