JAKARTA: Indonesia mengerahkan hampir 17,000 anggota bagi memadam kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan ketika jerebu tebal mengancam kesihatan awam, manakala jarak penglihatan terhad menjejaskan operasi pemadaman kebakaran dari udara.
Pemangku Ketua Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton Panjaitan, berkata 4,686 anggota dikerahkan di Kalimantan Tengah dan 12,285 di Sumatera Selatan, dua wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi pemadaman kebakaran.
"Operasi di darat diberikan keutamaan berbanding operasi udara berikutan jarak penglihatan terhad sehingga menjejaskan operasi pengeboman air menggunakan helikopter," katanya dalam kenyataan.
Setakat 13 Okt lalu, katanya, operasi pemadaman meliputi kawasan seluas 521.69 hektar di Kalimantan Tengah, termasuk kawasan dalam Taman Negara Tanjung Puting dan Kabupaten Seruyan.
Kementerian Perhutanan memaklumkan jumlah titik panas di enam wilayah meningkat hampir dua kali ganda kepada 294 setakat 9 malam Rabu, berbanding 148 sehari sebelumnya, manakala jumlah keseluruhan di seluruh negara meningkat kepada 372.
Kalimantan Tengah merekodkan jumlah titik panas tertinggi 130, diikuti Sumatera Selatan (91), Kalimantan Barat (59), Jambi (sembilan) dan Kalimantan Selatan (lima), manakala tiada titik panas di Riau.
Pemantauan kualiti udara terus menunjukkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah serta beberapa kawasan di Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.
Di Sumatera Selatan, kerajaan dijadualkan menguji kaedah penyebaran 1.5 tan ais kering di ruang udara Palembang pada Khamis bagi mengurangkan jerebu tebal menggunakan teknik yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Thailand, lapor Agensi Berita Antara.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman, berkata Presiden, Prabowo Subianto mengarahkan ujian itu dilaksanakan bagi meningkatkan jarak penglihatan daripada kira-kira 1,000m kepada 5,000m.
Kaedah berkenaan boleh diperluaskan ke wilayah lain yang terjejas, jika terbukti berkesan.
Dalam perkembangan berasingan, Berton berkata, misi pemadaman kebakaran oleh Jepun di Kalimantan berakhir 29 Sept lalu selepas melengkapkan tempoh penugasan 14 hari seperti dipersetujui.
Katanya, Jepun telah memaklumkan secara rasmi kepada Indonesia mengenai tamatnya misi itu serta menyerahkan laporan operasi.
Jelasnya, sebarang tawaran bantuan antarabangsa perlu dikemukakan melalui saluran rasmi kerajaan dengan memperincikan jumlah anggota, peralatan dan tempoh penugasan.
