PETALING JAYA: Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak disyarat menguasai bahasa Melayu untuk layak menerima Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata, kelayakan bergantung kepada memenuhi syarat kemasukan akademik dan program khusus di empat institusi yang terlibat – Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin Malaysia, dan Kolej Universiti i-CATS.
Menurut The Borneo Post, beliau berkata pemegang UEC tidak perlu lulus bahasa Melayu untuk layak memasuki institusi berkenaan. Namun, katanya mereka perlu menguasai bahasa Inggeris memandangkan ia merupakan bahasa pengantar utama di empat institusi itu.
“Mereka tidak perlu bahasa Melayu untuk layak masuk empat universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” katanya pada sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Beliau menjawab soalan See Chee How (Bebas-Batu Lintang) berkait kriteria kelayakan pemegang UEC di bawah FTES.
Annuar berkata, syarat kemasukan adalah berbeza mengikut institusi dan program, yang mana pemegang UEC secara umumnya memerlukan lima Gred B untuk layak menyertai program ijazah sarjana muda, serta subjek prasyarat tambahan bagi kursus tertentu seperti matematik, matematik tambahan, dan sains fizikal. Sesetengah institusi turut menetapkan syarat penguasaan bahasa Inggeris mereka sendiri.
Pemegang UEC yang diterima masuk ke mana-mana daripada 64 kursus yang diliputi di bawah FTES tidak perlu mengemukakan permohonan berasingan bagi skim berkenaan.
Setakat 30 Jun lalu, seramai 192 pelajar UEC menerima pembiayaan yuran pengajian penuh di bawah FTES. Daripada jumlah tersebut, 137 pelajar menuntut di Swinburne Sarawak, 33 di UTS, 21 di Curtin Malaysia, dan seorang di Kolej Universiti i-CATS.
Annuar berkata, pelajar UEC akan menerima layanan sama seperti pelajar lain bagi penempatan latihan industri, tertakluk kejayaan mereka memperoleh penempatan dalam industri berkaitan.
Beliau berkata, penyertaan pemegang UEC dalam FTES mencerminkan dasar Sarawak untuk memastikan anak Sarawak yang layak mempunyai peluang saksama melanjutkan pengajian tinggi serta mengembangkan potensi, kemahiran, dan bakat.
Katanya, dasar pendidikan Sarawak berasaskan prinsip pendidikan seharusnya merentasi batas kaum dan etnik, bertindak sebagai wacana mobiliti sosial, selain membantu mengangkat komuniti keluar daripada belenggu kemiskinan – khususnya di kawasan luar bandar.
“Tiada anak Sarawak yang layak patut dinafikan peluang pendidikan,” katanya.
“Saya berharap ini menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada seluruh rakyat Sarawak, terutamanya pemegang UEC, bahawa anda tidak ada bezanya dengan yang lain.”
