KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap pelajar yang mengkritik beliau atau kerajaan, menegaskan bahawa kritikan bukanlah suatu jenayah.
Beliau menambah, matlamat pendidikan adalah untuk memupuk pemikiran kritis, menekankan bahawa pendirian perlu dipertahankan.
Anwar berkata, sama seperti pelajar, para pemimpin juga melakukan kesilapan.
“Saya menggesa anak muda agar berani berpihak kepada kebenaran, menentang rasuah, menolak penindasan, dan tidak sesekali berkompromi dengan ketidakadilan," katanya ketika merasmikan sidang kemuncak belia di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
"Inilah mandat untuk generasi masa kini, (untuk) berpegang teguh pada prinsip, memperjuangkan keadilan, dan memacu perubahan demi membina sebuah negara berintegriti serta bermaruah.
“Semoga generasi muda hari ini bangkit sebagai pemimpin yang berprinsip, amanah dan berani, sedia menggalas tanggungjawab mengemudi Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik."
Tindakan universiti dihentikan
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu perhimpunan antarabangsa pemimpin muda masa depan, beberapa hari selepas beliau mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa prosiding tatatertib universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyampaian pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman akan dihentikan serta-merta.
Beliau turut berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menyediakan satu kerangka perundangan menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Jaminan beliau berhubung kebebasan bersuara ini menyusul lebih seminggu selepas aktivis mahasiswa Wong Yan Ke gagal mengetepikan sabitan serta denda RM10,000 kerana mengaibkan naib canselor Universiti Malaya dan graduan dalam satu bantahan ketika istiadat konvokesyen pada 2019.
Wong disabitkan kesalahan pada 2023 kerana mengaibkan naib canselor ketika itu, Abdul Rahim Hashim, serta hadirin lain selepas bertindak membawa plakad ke atas pentas bagi mendesak Abdul Rahim meletak jawatan.
Pada Ogos lepas, Anwar menegaskan bahawa universiti wajar melonggarkan tindakan tatatertib terhadap penuntut yang berdepan prosiding akibat menyuarakan pandangan atau kritikan.
Beliau berkata, mahasiswa sewajarnya diberikan ruang kebebasan yang lebih luas untuk bersuara dan menegur institusi, memandangkan universiti sepatutnya berfungsi sebagai medan percambahan idea baharu serta pemikiran kritis.
