PETALING JAYA: Gengsterisme dalam kalangan masyarakat India lazim berakar umbi di sekolah menengah, dengan pelajar yang lemah akademik serta terpinggir paling terdedah direkrut, menurut sebuah buku baharu.
Penulisnya yang juga aktivis sosial, Janakey Raman Manickam, berkata pelajar India yang kurang keyakinan dan arah tuju lazim menyertai geng untuk merasakan diri diterima dan diiktiraf.
Katanya, sebaik direkrut, remaja berkenaan dibayar untuk melakukan jenayah.
Janakey yang banyak menulis mengenai isu melibatkan masyarakat India di Malaysia berkata, ramai remaja seperti itu terjebak jenayah kecil untuk menampakkan imej ‘macho’, menarik perhatian rakan sebaya, atau mendapat duit poket.
“Lebih banyak jenayah dilakukan, lebih hebat kedudukan mereka dalam geng,” katanya dalam buku bertajuk ‘Malaysian Indians: Impact and Pain: Narration of an Unending Saga of a Marginalised Community’.
Janakey berkata, pelajar seperti ini lazimnya semakin terjerumus dalam jenayah berat termasuk merompak dan mengedar dadah.

Sekolah sisih pelajar lemah
Beliau turut mempertikai sistem pendidikan yang dianggapnya terlampau memberi tekanan terhadap pelajar cemerlang tetapi membiarkan pelajar lemah tanpa sokongan diperlukan.
“Secara tidak langsung, pelajar lemah daripada masyarakat India ketinggalan. Selalunya mereka tersisih di sekolah kerana tidak ramai guru mempedulikan mereka,” katanya, menambah pelajar seperti itu lazim dilabel pencetus masalah.
Janakey berkata, walaupun wujud latihan vokasional dan kemahiran, ramai pelajar meninggalkan sekolah menengah tanpa menyedari peluang yang terbuka untuk mereka.
“Pelajar-pelajar ini tidak tahu apa-apa,” katanya.
Beliau mendesak mereka diberi lebih perhatian dan dipimpin ke arah kerjaya lebih baik, seiring langkah-langkah bagi meningkatkan kestabilan kewangan untuk keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, gengsterisme dalam kalangan masyarakat India kini mencapai tahap kritikal, dan sudah tiba masa untuk ancaman ini ditangani menerusi perancangan serius serta tindakan tegas.
Menurut laporan pada 2013, 38 daripada 29 pertubuhan rahsia dan sindiket jenayah yang disenaraihitamkan kerajaan banyak dioperasikan pemuda India.
Pada 2021, naib presiden MIC ketika itu C Sivarraajh berkata orang India merangkumi 28,926 atau hampir 72% daripada ahli geng yang dikenal pasti di seluruh negara.
