PETALING JAYA: Lima laporan polis dibuat terhadap seorang lelaki dipercayai menyamar pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah yang menyebabkan kerugian RM670,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Rusdi Isa, berkata empat mangsa membuat laporan di Selangor dan Kuala Lumpur setakat ini, selain pegawai khas istana turut membuat laporan pada 15 Okt lalu berhubung kes sama.
"Seorang mangsa mengalami kerugian RM30,000, diikuti mangsa kedua sebanyak RM155,000, mangsa ketiga RM452,000, manakala seorang lagi mangsa kerugian RM33,000," katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor dilaporkan berkata, Istana Selangor memandang serius isu itu dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dengan adil serta telus.
Istana Selangor memohon kerjasama orang ramai membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan dakwaan mengaitkan kedudukan individu terbabit dengan nama istana dalam sebarang urusan.
