KLANG: Pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap kerajaan.
Hakim Siti Aminah Ghazali dalam keputusan ringkasnya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap Azri mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminannya berjumlah RM7,000 dikembalikan.
Wan Azri didakwa membuat kenyataan bahawa kerajaan 'pro-Israel dan pro-Barat' menerusi akaun Facebook 'Halid Hamidi (Halid Mat Kool)' kira-kira 1 tengah hari pada 8 Nov 2023.
Wan Azri diwakili peguam Rafique Rashid Ali, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar hadir bagi pihak pendakwaan.
Dia pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu, namun Mahkamah Tinggi mengarahkannya membela diri tahun ini susulan rayuan pihak pendakwaan.
