PETALING JAYA: Lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 177km akan dibuka secara berperingkat sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat projek itu lebih awal.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam, berkata pembukaan seksyen yang siap itu akan dilaksanakan sementara kerja pembinaan di bahagian lain diteruskan.
Katanya, langkah itu turut disusuli tindakan penambahbaikan oleh kerajaan negeri susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 2 pada 5 Okt lalu.
"Fokus kami sekarang ialah penyelesaian supaya rakyat dapat menggunakan jalan yang lebih baik secepat mungkin," katanya yang juga menteri kerja raya dan utiliti Sabah menurut Berita Harian.
Beliau berkata, enam pakej sepanjang 135.8km sudah menerima Sijil Pendudukan Separa (CPO), merangkumi laluan Sindumin ke Beaufort dan Bongawan serta Putatan ke Tebobon dan Moynod ke Sapi Nangoh.
"Setakat 25 Sept lalu, empat pakej sepanjang 41.5km sudah siap sepenuhnya, iaitu WP05 Papar ke Donggongon, WP15 Tawau ke Semporna, WP21 Lahad Datu Bypass dan WP27 Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32," katanya.
Joachim berkata, lapan pakej sepanjang 161.8km disasarkan menerima Sijil Siap Praktikal (CPC) pada 2027, sebagai pengesahan rasmi bahawa keseluruhan kerja pembinaan sudah selesai.
Katanya, angka kemajuan 11.4% yang dinyatakan dalam LKAN merujuk empat daripada 35 pakej diserahkan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.
"Kemajuan fizikal di tapak setakat 25 Sept lalu mencapai 89.54% bagi Fasa 1A, 38.87% bagi WP09 dan 24.76% bagi Fasa 1B.
"Status tapak bebas halangan pula mencatatkan 99.79% bagi Fasa 1A, 96.8% bagi WP09 dan 79.43% bagi Fasa 1B," katanya.
Mengenai kelewatan, Joachim berkata ia antaranya disebabkan perubahan model pelaksanaan daripada rakan penyampaian projek (PDP) kepada kaedah konvensional yang berkuat kuasa pada 22 Sept 2019, sekali gus memerlukan proses perolehan dan kontrak baharu.
Berhubung teguran audit mengenai arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta yang melebihi had kuasa kelulusan, Joachim berkata pihaknya akur dan menyokong penambahbaikan mekanisme kelulusan supaya proses berkenaan lebih jelas serta pantas tanpa menjejaskan tadbir urus.
