KUCHING: Sebanyak 27 sekolah di Tebedu, Serian, akan ditutup sementara esok berikutan keadaan jerebu, berdasarkan pemantauan berterusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan penutupan pada Isnin itu membabitkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah di bawah seliaan jabatan berkenaan.
“Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan, manakala guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR),” menurut kenyataan itu.
Keputusan penutupan turut terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah di daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 selepas kenyataan dikeluarkan.
Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan dengan pematuhan kepada pemakaian pelitup muka, selaras dengan garis panduan pengurusan peperiksaan ketika bencana dan jerebu.
JPN Sarawak memaklumkan bagi sekolah berhampiran daerah yang mencatatkan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan murid.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa persediaan pembukaan semula sekolah boleh dilakukan sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada bawah 200.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan jabatan itu juga diingatkan supaya memantau bacaan IPU menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan bagi melindungi kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka akibat keadaan jerebu, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
