KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk menangguhkan semakan kehakiman oleh Majlis Peguam yang mencabar keputusan AG untuk menghentikan pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno, Zahid Hamidi, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Zahid, berkata Hakim Azizan Arshad membenarkan permohonan itu dalam prosiding di kamar hakim hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan perkembangan di Mahkamah Persekutuan, yang membenarkan AG dan Zahid mendapat kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan Majlis Peguam meneruskan semakan kehakimannya.
“Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu kerana notis rayuan baru sahaja difailkan pada 19 Okt,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman hadir bagi pihak AG, manakala Majlis Peguam diwakili S Abhilaash.
Awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan memberikan AG dan Zahid kebenaran untuk merayu terhadap keputusan yang membolehkan Majlis Peguam Malaysia mencabar keputusan AG untuk menghentikan semua 47 pertuduhan rasuah dalam kes Yayasan Akalbudi Zahid.
Mahkamah memutuskan bahawa AG dan Zahid masing-masing memenuhi syarat ambang yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Majlis Peguam terhadap keengganan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman itu.
Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa cabaran tersebut ditujukan kepada ‘punca eksekutif’ – iaitu keputusan AG untuk menghentikan pendakwaan – dan bukannya perintah mahkamah jenayah seterusnya yang memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).
Zahid diberikan DNAA bagi semua 47 pertuduhan pada September 2023.
