PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggesa penghibur terkenal M Nasir dan Sheila Majid menjelaskan mengapa dua organisasi yang diterajui mereka mencabar garis panduan hak cipta kerajaan.
Presiden Karyawan Freddie Fernandez berkata garis panduan itu bertujuan meningkatkan ketelusan dalam pengutipan dan pengagihan royalti muzik oleh organisasi pengurusan kolektif.
Beliau berkata beliau kecewa dengan Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia dan Recording Performers Malaysia (RPM) kerana memfailkan permohonan semakan kehakiman itu.
Nasir merupakan pengerusi MACP manakala Sheila mengetuai RPM.
“Kami tidak faham mengapa dua nama besar dalam industri muzik tidak menyokong garis panduan ini, memandangkan majoriti penggiat muzik menganggapnya sebagai perkembangan positif yang memberi manfaat kepada artis, komposer dan penggiat muzik lain secara keseluruhan.
“Karyawan berharap kedua-dua mereka tampil menjelaskan mengapa mereka memilih untuk mengambil tindakan mahkamah,” kata Fernandez dalam satu kenyataan.
Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata garis panduan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Januari tahun lalu masih belum dikuatkuasakan susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkan kumpulan industri berkenaan.
