PETALING JAYA: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menempelak Menteri Besar Ismail Lasim secara terbuka di tengah-tengah krisis perlembagaan yang melanda negeri itu.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail telah mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemui baginda.
“Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. Go away,” titah Tuanku Muhriz yang jelas kelihatan murka, sebelum berpaling ke arah Ismail.
“Don't see me. I don't want to see you. You understand? I'm Yang Dipertuan Besar and you said I'm not.”
Sebagai respons, Ismail hanya mampu mengangkat sembah.
Susulan teguran itu, jemaah di masjid berkenaan kedengaran melaungkan 'Daulat Tuanku'
Negeri Sembilan diselubungi krisis diraja sejak April lalu, apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang mengumumkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilucutkan takhta selaku pemerintah negeri.
Kumpulan undang yang dipertikaikan itu turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang 'baharu' di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Melaka pada Jun.
Bulan lepas, Ismail menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan exconya yang kononnya mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan keseluruhan barisan exco tersebut.
FMT sedang berusaha mendapatkan komen daripada Ismail berhubung insiden ini.
