PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan cubaan campur tangan dalam semakan tadbir urus Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Katanya, tindakan itu diambil susulan maklumat dan bukti diterima bagi membolehkan siasatan dijalankan secara bebas dan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Menurut kementerian, campur tangan oleh pihak berkepentingan berkenaan didakwa melibatkan usaha menyebarkan maklumat mengelirukan, mempengaruhi individu dalam agensi, serta mengalihkan perhatian daripada perkara yang sedang diteliti.
Keadaan itu berpotensi menjejaskan integriti dan kebebasan proses semakan serta siasatan yang sedang berlangsung.
"Kesuma menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti bukti, menentukan fakta dan membuat keputusan berlandaskan undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Kesuma berkata, semakan dijalankan bersama pengurusan TalentCorp mengenal pasti beberapa aspek tadbir urus yang memerlukan penambahbaikan.
Ia merangkumi peruntukan perlembagaan syarikat, pematuhan terhadap dasar dalaman, kawalan dalaman serta mekanisme integriti dan akauntabiliti.
Kementerian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menggunakan kedudukan, pengaruh atau rangkaian bagi menjejaskan integriti proses berkenaan.
"Proses semakan dan siasatan yang berkaitan turut melibatkan pekerja serta pihak pengurusan TalentCorp. Semua pihak terlibat hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses tersebut dilaksanakan secara adil dan objektif," katanya.
Menurutnya, sepanjang proses berkenaan operasi serta pelaksanaan program strategik TalentCorp akan diteruskan seperti biasa.
