PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin Umno mencadangkan semua gabungan dan parti politik bertanding secara solo pada PRN Melaka bagi mengukur kekuatan sebenar masing-masing menjelang PRU16 akan datang.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi, berkata parti-parti utama dilihat menghadapi kesukaran untuk bertolak ansur dan mencapai persetujuan mengenai kerjasama politik bagi PRN pada 14 Nov ini.
"Lebih baik semua gabungan sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PAS, Bersatu, Wawasan atau Bersama bertanding secara solo. Lihat kekuatan masing masing bila bertanding solo.
"Baru nampak siapa perlukan siapa. Siapa kalau tanding sendiri baru tahu parti itu hanyalah parti nyamuk.
"Maka barulah di PRU 16 nanti ada rasa rendah diri, sedia mendongak langit dalam menentukan rakan kongsi yang lebih realistik,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pengundi Melaka akan keluar mengundi pada 14 Nov ini, dengan 28 kerusi dipertandingkan. BN memenangi 21 kerusi pada PRN 2021, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
BN sebelum ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN di Melaka susulan kemenangan besar gabungan mereka pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun, gabungan pimpinan Umno itu membuka ruang rundingan dengan PH dan mengambil masa untuk mengesahkan kerjasama dengan PN pimpinan PAS.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang bagaimanapun mendakwa PAS dan BN pada dasarnya sudah bersetuju untuk bergabung tenaga di Melaka.
Sementara itu, PH dikaitkan dengan spekulasi mengenai kemungkinan pakatan dengan Bersatu, yang semakin tersisih dalam PN meskipun masih menjadi komponen gabungan pembangkang itu.
