PUTRAJAYA: Data dan statistik negara perlu mencerminkan realiti kehidupan rakyat serta menjadi panduan kepada tindakan kerajaan, bukan sekadar angka perhiasan di atas kertas.
Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata keputusan ekonomi tidak boleh dibuat berasaskan andaian semata-mata, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, cabaran rantaian bekalan, kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan demografi.
“Kita memerlukan data tepat, analisis bernas dan kesediaan mengubah pendekatan apabila bukti menunjukkan hasil yang belum memadai.
“Statistik bukan sekadar menjelaskan keadaan; statistik mesti membantu menentukan tindakan,” katanya dalam teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi Shahar Abdullah sempena Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2026 Peringkat Kebangsaan.
Akmal berkata kerajaan juga perlu mengubah cara kejayaan sesuatu dasar diukur dengan beralih daripada sekadar melihat jumlah perbelanjaan kepada hasil yang benar-benar dicapai.
“Kita mesti beralih daripada hanya menilai berapa banyak yang dibelanjakan kepada apa yang benar-benar berhasil, daripada angka pertumbuhan nasional kepada siapa yang memperoleh manfaat.
“Matlamat pembangunan adalah untuk memperbaik kehidupan rakyat, bukan sekadar mengejar angka KDNK,” katanya.

Menurutnya, kemajuan sebenar perlu dilihat antaranya melalui pendapatan munasabah, pendidikan berkualiti, pekerjaan bermutu dan kemampuan setiap keluarga mempunyai simpanan kecemasan.
Mengulas mengenai Indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang dibangunkan Jabatan Perangkaan (DOSM), Akmal berkata ia membantu kerajaan menilai kecukupan pendapatan serta tekanan kos sara hidup berdasarkan lokasi dan saiz isi rumah.
Beliau menjelaskan PAKW bukan kadar gaji minimum, sebaliknya instrumen untuk memberikan gambaran lebih tepat mengenai keperluan perbelanjaan isi rumah.
“Apabila data gaji dan produktiviti digabungkan dengan PAKW, kerajaan dapat melihat dengan lebih jelas jurang antara pendapatan dengan keperluan kehidupan, sekali gus merangka intervensi yang lebih tepat,” katanya.
