KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) akan turut digunakan dalam pelaksanaan sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya, AI turut diaplikasikan dalam pengurusan, perancangan dan penyelenggaraan jalan raya, termasuk jalan persekutuan serta negeri.
Jelasnya, penggunaan teknologi itu dalam sektor jalan raya selaras usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur pintar negara.
"Kita mesti bersama dengan pemain industri di seluruh dunia sebab teknologi ini sangat dinamik. AI tentulah kita sudah gunakan dalam mengurus, merancang dan menyelenggara jalan raya.
"MLFF apabila dilaksanakan sepenuhnya, sudah tentulah menggunakan AI juga," katanya selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik ke-6 di sini.
Mengenai persidangan bertemakan "Transforming the Nation through Future-Ready Roads", beliau berkata, platform itu memfokuskan pembangunan infrastruktur jalan raya berkualiti, berdaya tahan dan mampan, selain menjadi platform bagi pemain industri serta profesional kejuruteraan dari dalam dan luar negara berkongsi pengetahuan serta perkembangan teknologi terkini.
Katanya, penganjuran persidangan itu penting bagi memastikan Malaysia terus mengikuti perkembangan teknologi kejuruteraan jalan raya yang dinamik, khususnya dalam era digital menyaksikan penggunaan AI dan internet benda (IoT) semakin meluas.
Menurutnya, persidangan setiap dua tahun itu disertai lebih 1,000 peserta dan menampilkan 121 kertas kerja teknikal merangkumi 10 subbidang, selain 112 ruang pameran mengetengahkan teknologi dan penyelesaian kejuruteraan jalan raya.
"Jadi, ini juga memberi kesempatan kepada kita untuk melihat sendiri teknologi, penyelesaian kejuruteraan dan sebagainya yang dipamerkan."
Jelasnya, program itu turut memberi peluang jurutera tempatan menimba ilmu dan bertukar pengalaman dengan profesional antarabangsa, termasuk melalui inisiatif Young Engineers and Professionals serta pameran inovasi bertaraf tinggi melalui Malaysian Road Conference Invention & Innovation Exhibition 2026.
Selain tumpuan kepada pembangunan bakat muda dalam bidang kejuruteraan jalan raya, pertandingan AI Pathfinders turut diperkenalkan bagi meneroka penggunaan AI dalam kejuruteraan jalan raya, katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu memanfaatkan platform antarabangsa seumpama itu untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam industri kejuruteraan jalan raya.
