KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen menggesa semua pihak bersikap konsisten apabila mempersoalkan kuasa budi bicara peguam negara untuk menghentikan prosiding jenayah, susulan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berkata ada beberapa kes sebelum ini apabila peguam negara menghentikan pendakwaan sehingga tertuduh dibebaskan, termasuk membabitkan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam Tamrin Abdul Ghafar dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Adnan turut merujuk keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan ahli perniagaan Phang Li Koon dalam kes rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo.
"Jika kuasa budi bicara pendakwa raya diterima dalam kes-kes terdahulu, mengapakah prinsip sama tidak boleh diguna apabila kita menilai kes lain termasuk kes yang melibatkan Bagan Datuk (Zahid)?.
"Ini bukan soal mempertahankan mana-mana individu atau parti politik, tetapi soal konsistensi dalam mengamalkan prinsip undang-undang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara yang juga bertindak sebagai pendakwa raya mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sesuatu prosiding jenayah, kecuali prosiding di mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Adnan berkata selagi Perkara 145(3) masih berkuat kuasa, peruntukan itu perlu dilaksanakan mengikut kerangka Perlembagaan.
"Jika kerajaan berpandangan struktur kuasa peguam negara dan pendakwa raya perlu dipinda bagi memperkukuh kebebasan pendakwaan serta akauntabiliti, maka pembaharuan perlembagaan dan institusi perlu dipertimbangkan secara serius.
"Bukannya mencampur tangan politik dalam kes tertentu," katanya.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian mencelah dan berkata beliau bersetuju dengan hujah Adnan, namun mempersoalkan sama ada peguam negara wajar campur tangan dalam kes apabila mahkamah sudah membuat dapatan berdasarkan bukti kukuh serta memerintahkan tertuduh membela diri.
Adnan menjawab bahawa peguam negara sebelum ini pernah menghentikan satu kes walaupun seramai 25 saksi telah dipanggil, namun beliau tidak menyatakan kes yang dimaksudkan.
Katanya, jika kuasa budi bicara peguam negara di bawah Perkara 145(3) mahu diubah, pindaan itu perlu dibuat melalui Dewan Rakyat.
“Saya juga tidak bersetuju (dengan penggunaan kuasa peguam negara) dalam kes apabila mahkamah sudah membuat keputusan.
“Tetapi saya perlu menerimanya sebagai sebahagian daripada kedaulatan undang-undang dan proses perundangan negara, sehinggalah kita membuat keputusan untuk meminda dan mengubah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Adnan mengulas kes Zahid selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) pada 12 Okt lalu menggesa presiden Umno itu didakwa semula dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi ketika membahaskan Belanjawan 2027.
Pada 2023, Zahid diberikan DNAA bagi 47 pertuduhan rasuah dalam kes Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan keputusan itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan lanjut.
Kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut pada Januari lalu.
