PERALING JAYA: Seorang guru yang melanggar dua pelajarnya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas dua pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian dan kecederaan di sebuah sekolah menengah di Tanjong Mas, April lalu.
Sakinah Ismail, 57, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah, lapor Berita Harian.
Mengikut tuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian pelajar perempuan Tingkatan 1 di kawasan surau SMK Tanjong Mas pada 1.40 tengah hari, 12 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Sakinah juga didakwa cuai dengan melanggar pelajar seorang perempuan Tingkatan 1 menggunakan kereta Honda HRV sehingga membahayakan nyawa pada masa dan lokasi sama.
Guru itu didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadzir Abdullah dan tertuduh diwakili peguam, Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.
Nadzir menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Hasif memohon jaminan paling minimum ditawarkan kerana anak guamnya yang juga seorang ustazah berdisiplin dan memberi kerjasama baik, selain bakal bersara pada 16 Nov ini.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan dan menetapkan 6 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 12 April itu, seorang pelajar Tingkatan 1 maut, manakala seorang lagi parah selepas dilanggar kenderaan yang dipandu seorang guru wanita di hadapan surau di sekolah mereka.
