KUALA LUMPUR: Gabungan persatuan penduduk menggesa kerajaan membatalkan cadangan projek perumahan berskala besar di Bukit Jalil yang didakwa tidak selaras dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040.
Gabungan Persatuan Penduduk yang terdiri daripada persatuan penduduk Bukit Jalil, Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan masih mahu meneruskan projek itu walaupun mendapat bantahan meluas daripada masyarakat setempat.
Pengerusinya Zainuddin Zainal berkata kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan suara penduduk yang membantah pembangunan Bandar Madani Bukit Jalil melibatkan 17,000 unit kediaman.
“Kami terkilan dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek mega melibatkan 17,000 unit kediaman di Bandar Madani Bukit Jalil tanpa mengambil kira bantahan masyarakat setempat,” katanya.
Wakil gabungan itu hadir ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), iaitu Teresa Kok (Seputeh), Tan Kok Wai (Cheras), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan V Ganabatirau (Klang).
Kira-kira 30 penduduk turut berkumpul di luar pintu masuk Parlimen sambil membawa sepanduk membantah projek berkenaan.
Menurut gabungan itu, pembangunan yang dicadangkan di kawasan seluas 46.73 ekar berkenaan mempunyai anggaran nisbah plot 1:7.1, melebihi had ditetapkan dalam PTKL 2040, iaitu 1:3.0 bagi Plot 1 dan 1:5.0 bagi Plot 2.
Penduduk turut mempersoalkan tindakan membuka pendaftaran projek itu ketika proses semakan semula PTKL 2040 yang dimohon masyarakat setempat masih berlangsung.
Mereka juga bimbang pembangunan berskala besar itu akan menambahkan tekanan terhadap kemudahan dan infrastruktur sedia ada di kawasan berkenaan.
Gabungan itu berkata, jumlah unit kediaman dalam lingkungan 3km meningkat mendadak daripada 3,000 unit pada 1998 kepada 74,324 unit pada 2026, dengan jumlah penduduk mencecah 209,908 orang.
Apabila projek Bandar Madani Bukit Jalil siap, jumlah unit kediaman di kawasan itu dijangka meningkat kepada 95,859 unit, manakala jumlah penduduk dianggarkan mencecah 277,235 orang menjelang 2031.
Sementara itu, Kok menyatakan sokongan terhadap bantahan penduduk dan memuji usaha 75 pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung menentang pembangunan itu.
“Saya gembira melihat penduduk Bukit Jalil, Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil bersatu untuk menyuarakan bantahan mereka,” katanya.
Beliau turut mengkritik Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang didakwanya mengetepikan peraturan perancangan serta tidak mematuhi garis panduan pembangunan bandar.
Kok berkata, hanya 1,750 unit atau kira-kira 10% daripada keseluruhan kediaman yang dirancang diperuntukkan sebagai rumah mampu milik, manakala baki 90% akan dijual pada harga pasaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghentikan sementara semua urusan pendaftaran projek sehingga kajian perancangan terperinci oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan proses semakan PTKL 2040 selesai.
Kok juga berjanji menyerahkan sendiri memorandum penduduk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta mengusahakan pertemuan secara langsung antara beliau dengan gabungan persatuan penduduk terbabit.
