PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan berlakunya penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas di pejabat jabatan itu di Kuala Lumpur.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata siasatan akan dijalankan bahagian integriti dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Hamsha juga menasihatkan orang ramai untuk berurusan melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberikan kuasa.
Terdahulu hari ini, sebuah portal berita melaporkan dakwaan kemudahan pas khas yang sepatutnya membantu warga asing berdepan hal kecemasan dan mendesak dipercayai disalahgunakan secara sistematik untuk melanjutkan tempoh keberadaan mereka di Malaysia.
Laporan itu turut mendakwa kegiatan berkenaan melibatkan orang tengah tempatan yang menguruskan permohonan, mengumpul pasport pemohon dan menghantar gambar mereka kepada pegawai imigresen melalui aplikasi pesanan untuk pengesahan awal.
