PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membuka laluan bagi PRU16 menjelang Ogos tahun depan, susulan ketegangan semakin memuncak antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno.
Presiden Wawasan itu berkata, Anwar mungkin sukar mengekalkan keutuhan kerajaan perpaduan melepasi 2027.
Katanya, Ahli Parlimen PH sudah mula mempersoalkan kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, selepas sebahagian besarnya memilih untuk berdiam diri sepanjang empat tahun lalu.
Januari lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak meneruskan tindakan lanjut berhubung 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dihadapi Zahid, yang juga presiden Umno merangkap pengerusi Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu mengundang kritikan daripada pemimpin DAP.
“Saya rasa mereka sudah mula berpecah. Jadi, beliau perlu panggil (PRU) sebelum keadaan itu berlaku,” kata Hamzah dalam temu bual bersama BFM Radio.
PRU akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya Februari 2028. Bulan lalu, Anwar menyatakan kesediaan mempertimbangkan gesaan mengadakan PRU lebih awal.
Hamzah seterusnya mencadangkan, Anwar mungkin memanfaatkan Sukan SEA 2027 bagi meraih sokongan rakyat sebelum 'memanggil pilihan raya serta-merta selepas itu'.
Temasya Sukan SEA dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept.
“Sama ada akan berlaku atau tidak, saya tidak tahu. Saya tidak begitu pasti," kata Hamzah.
Beliau turut menyifatkan Belanjawan 2027 sarat dengan pelbagai 'gula-gula', manakala peruntukan besar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi satu lagi petunjuk pilihan raya semakin hampir.
Menerusi Belanjawan 2027 dibentangkan baru-baru ini, peruntukan untuk SPR melonjak kepada RM367 juta berbanding RM167 juta tahun sebelumnya.
