PETALING JAYA: Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Arahan itu terkandung dalam surat Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 20 Okt, yang ditujukan kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, pengurusan badan berkanun persekutuan, setiausaha kerajaan negeri dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Menurut surat itu, keputusan melarang penggunaan Waze, yang disifatkan sebagai aplikasi navigasi 'berpangkalan di negara Israel', dibuat pada mesyuarat JKSN, semalam.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Shamsul Azri mengarahkan semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan kementerian, agensi dan jabatan masing-masing untuk dilaksanakan serta-merta.
Mereka juga diminta memastikan arahan itu dipatuhi sepenuhnya di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Menurutnya, langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.
