KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan ditemukan di sebuah kawasan pembuangan sampah di Bangsar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi di dalam tong sampah itu pada 10.43 pagi.
“Mayat bayi terbabit telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hoo memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 dan Hotline Polis Brickfields 03-2297 9222 atau hadir ke balai polis berdekatan.
